by: Ustaz Zainudin Hashim
Terdapat pihak yang begitu ghairah,
apatah lagi hampir menjelangnya hari
kemerdekaan negara ke 50 pada 31 Ogos
2007, banyak program atau aktiviti yang
dirancang bagi memenuhi agenda sambutan
kemerdekaan yang disambut saban tahun.
Kalau pada tahun-tahun lalu sebelum
mencecah kali ke 50, banyak aktiviti
serta program yang diatur memperlihatkan
betapa masyarakat masih terikat dengan
elemen-elemen jahiliyyah abad ke dua
puluh satu yang ditinggalkan oleh para
penjajah dalam menyambut kemerdekaan negara.
Tetapi kali ini sambutan diadakan secara
‘grand’ iaitu besar-besaran yang
melibatkan wang ringgit yang bukan
sedikit jumlahnya, masa, tenaga serta
pengorbanan banyak pihak untuk
menyatakan kesanggupan mereka menyambut
kemerdekaan negara.
Ada yang berkonvoi dengan membawa jalur
gemilang, tidak kurang yang memanjat
gunung walaupun menghadapi kesukaran
semata-mata untuk memacakkan jalur
gemilang, ada yang berenang merentasi
lautan Inggeris berjam-jam di dalam air
laut semata-mata untuk menaik serta
mengharumkan nama negara, dan
bermacam-macam kaedah atau pendekatan
lain yang kesemuanya bermatlamat untuk
kebaikan negara.
Tetapi mereka lupa hingga meletakkan
kecintaan kepada negara mengatasi cinta
manusia kepada agama mereka, kononnya ia
berpandukan sebuah hadis Nabi Muhammad
s. a. w yang bermaksud : Cinta kepada
negara sebahagian daripada iman.
Sesungguhnya kenyataan di atas yang
kadang-kadang menjadi sandaran umat
Islam di Malaysia termasuk segelintir
pemimpin negara, sebenarnya sudah
tersasar jauh, kerana kenyataan di atas
bukanlah hadis yang pernah diungkapkan
oleh baginda Rasulullah s. a. w, tetapi
ia adalah termasuk dalam katagori hadis
palsu seperti yang disebut oleh Imam
as-Saghoni dan juga disebut oleh Imam
al-’Ajluni dalam kitabnya "Kasyf
al-Khofa’ wa Muzil al-Albas’ jilid yang
pertama, mukasurat 413, terbitan Dar
at-Turath, Mesir, tanpa tarikh.
Walaupun dari segi maknanya bagus,
tetapi ia tidak boleh dijadikan sandaran
rujukan kerana ianya adalah hadis palsu,
apabila ada orang yang mengamalkan hadis
palsu, iaitu hadis yang tidak disebut
oleh baginda Rasulullah s. a. w, maka
orang yang kata ia sabda baginda, maka
orang itu telah melanggar ketentuan
hadis Nabi s. a. w yang berbunyi :
Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan
sengaja, maka akan disediakan untuknya
bangku yang panas (diperbuat daripada
api neraka) hadis mutawatir yang
diriwayatkan lebih daripada dua puluh
orang sahabat Nabi.
Waspada adalah kunci kejayaan seorang
muslim Justeru, apa yang perlu dilakukan
oleh muslim / muslimah yang sayangkan
agama mereka, memahami lima perkara yang
wajib dipelihara, perkara ini ada
ditegaskan dalam kitab-kitab ilmu agama
Islam, antaranya tulisan Dr Abdul Karim
Zaidan dalam bukunya "Usul ad-Dakwah"
yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa
Indonesia oleh Pak Natsir dengan judul
"Dasar-dasar ilmu Dakwah".
Lima perkara yang wajib dipelihara itu
ialah agama, akal, jiwa, harta,
kehormatan serta keturunan, namun
memelihara negara tidak termasuk salah
satu daripadanya.
Ini bukan bermakna, sebagai warganegara
tidak perlu menjaga negaranya, kerana
orang-orang kafir juga bersungguh dalam
menjaga negara mereka walaupun yang
lain-lain tergadai.
Rasulullah dalam sirahnya juga ada
menyebut semasa beberapa ketika sebelum
berhijrah ke Madinah menegaskan di
hadapan Kaabah:
Wahai Makkah, Wahai Kaabah! Engkaulah
negara yang paling aku cinta (kerana
baginda dilahirkan di situ), tetapi
kalau tidak kerana penduduk-penduduk
Makkah mengusir aku keluar, aku tidak
akan keluar. - sila lihat kitab-kitab Sirah.
Nabi juga sayangkan negaranya, tetapi
baginda bertindak mengikut arahan Allah
untuk ke Madinah kerana agama Islam
tidak boleh berkembang di Makkah, atas
dasar agamalah baginda meninggalkan Makkah.
Agama menjadi perkara utama dalam agenda
perjuangan Rasulullah s. a. w, justeru
matlamat tidak menghalalkan cara, itulah
kaedah yang diguna-pakai dalam disiplin
ilmu "Usul Fiqh".
Matlamat serta cara baginda memelihara
agama adalah selari dan sekata, tidak
seperti sambutan kemerdekaan negara yang
disambut oleh pelbagai lapisan
masyarakat, agama bukan lagi menjadi
matlamat untuk dipelihara.
Sambutan disambut hingga awal pagi
dengan penganjuran konsert-konsert para
artis termasuk artis wanita yang tidak
menutup aurat dengan sempurna,
percampuran para peminat atau pengunjung
antara lelaki dan perempuan dikatakan
begitu bebas, akhlak tidak lagi
dipelihara, terkadang-kadang solat
diabaikan, akhirnya kerana mahu menjaga
serta mengharumkan nama negara, agama
menjadi mangsa tindakan liar sebahagian
besar umat Islam.
Inilah yang dikatakan matlamat
menghalalkan cara, walaupun caranya
menjejaskan hukum-hukum Islam, namun ia
tidak lagi diendahkan oleh individu
bernama muslim.
Persoalan agama akan ditanya dalam alam
kubur sedangkan negara tidak. Apa yang
ingin dijelaskan, bahawa penulis bukan
tidak sayang kepada negara, malah
berbangga menjadi warganegara Malaysia,
bukan sahaja di peringkat kebangsaan,
malah kalau keluar negara pun penulis
akan kata, saya seorang warganegara
Malaysia.
Namun biarlah sambutan kepada negara
diberi pertimbangan waras, begitu juga
persoalan agama, ia sepatutnya diberi
slot secara meluas menerusi
program-program TV, radio,
akhbar-akhbar, dengan iklan yang
beradab, bersopan, beretika sesuai
dengan Malaysia sebagai pengerusi OIC,
bukan sahaja mampu menganjurkan
Musabaqah Tilawah al-Quran, malah
menjadi contoh pelaksanaan hukum-hukum
yang ada di dalamnya.
Kerana semua itu akan menjadi saksi
ketika kita berada di alam kubur,
Malaikat akan datang bertanya, apa agama
kamu, siapa imam kamu, ketika itu kita
akan jawab, bahawa Islam adalah agamaku,
al-Quran adalah imamku, tidak sedikitpun
ditanya mengenai negara.
Agak-agaknya sudahkah kita bersedia
dengan jawaban-jawaban tersebut, ia
hanya boleh dijawab oleh amalan kita,
bergantung pula kepada sejauh mana
amalan yang kita lakukan semasa hidup di
dunia, sama ada amalan Islamkah,
Sekularkah, Komuniskah atau isme-isme
yang lain.
Kita tidak mahu berbangga dengan
anak-anak muda yang sanggup berkorban
untuk negara pada masa akan datang,
tetapi pada masa mengorbankan aspek
agama mereka, dan bangga anak-anak muda
kita berjaya dalam hiburan atau sukan,
tetapi tidak menjaga solat mereka,
akhlak, sopan santun, budi bahasa dan
lain-lain, yang kesemua itu melambangkan
jati diri kita sebagai orang yang beragama.
More articles at:
http://mkmm79.blogspot.com/