PKPIM MENAFIKAN KENYATAAN PALSU MENYOKONG CALON UMNO
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menafikan dengan tegas akan kenyataan yang kononnya dibuat oleh Setiausaha Agung PKPIM di mana PKPIM menyatakan sokongan terhadap Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Hj. Dusuki, calon UMNO bagi DUN Tumpat di Kelantan. PKPIM tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan begitu dan edaran kenyataan bahawa PKPIM menyokong calon tersebut adalah kenyataan palsu yang direka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mempergunakan nama PKPIM.
PKPIM kesal dengan sesetengah pihak yang cuba memburukkan nama PKPIM dengan membabitkan sikap partisan PKPIM dalam Pilihanraya Umum ke 12 ini. Kenyataan media palsu itu diedarkan dan difakskan ke jaringan da’wah PKPIM.
PKPIM menghormati Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Hj. Dusuki sebagai mantan Presiden PKPIM tahun 1999 – 2001. Walau bagaimanapun, penyertaan Dr. Asyraf Wajdi dalam kancah politik dan menjadi calon dalam Pilihanraya Umum kali ini adalah merupakan keputusan peribadi beliau yang tidak ada kaitan dengan PKPIM.
Sebagai sebuah gerakan dakwah pelajar Islam peringkat kebangsaan, PKPIM sentiasa mempertahankan prinsip non-partisan yakni prinsip untuk tidak menjadi proksi atau cabang kepada mana-mana parti politik. PKPIM bertegas bahawa sebagai gerakan da’wah, Islam itu harus diletakkan merentasi batasan kepartian dan perkauman yang sempit.
PKPIM menyeru agar semua pihak yang bertanding dalam Pilihanraya Umum 12 ini bertanding secara berhemat dan bersih, demi memastikan kejayaan yang diredai Allah Ta’ala.
Mohd Hilmi Ramli
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)