~Teratak Srikandi~

“To talk to Allah no breath is lost. To walk with Allah no strength is lost. To wait for Allah no time is lost. Always trust in Allah, you won’t get lost!”

Archive for September, 2008


Di sebalik kematian pohon cengal…

TAHUKAH anda berapa harga sebatang pokok cengal?

Jika ada di kalangan rakan anda bergaya ke sana sini dengan kereta Proton Perdananya, katakan kepadanya bahawa kereta itu boleh dibeli dengan hanya sebatang pokok cengal.

Itulah harga sebatang pokok spesies itu yang telah pun hidup selama 100 tahun.

Sekiranya dibiarkan terus tumbuh, pokok cengal boleh membesar sehingga berusia 1,300 tahun, lebih lama umurnya daripada mana-mana empayar yang terkuat di dunia.

Di negara kita terdapat sebatang pokok cengal yang umurnya sudah melebihi 1,300 tahun.

Dengan kuasa Allah, pokok itu mula tumbuh di Hulu Dungun, Terengganu ketika Islam baru 100 tahun berkembang di Semenanjung Arab dan wilayah sekitarnya manakala di Eropah sedang berlaku peperangan antara Empayar Byzantine dan orang Bulgaria.

Pokok itu terus tegak dan hidup subur sampai sekarang ketika berbilion manusia telah pun mati untuk menemui Penciptanya.

Pokok cengal atau nama saintifiknya neobalanocarpus heimii ialah sejenis pokok kayu keras yang popular. Kayu cengal mengandungi sejenis damar semula jadi yang melindunginya daripada serangan anai-anai.

Selain Hulu Dungun, antara kawasan taburan semula jadi pokok ini di Semenanjung Malaysia ialah daerah Raub di Pahang, khususnya di kawasan Hutan Simpan Tersang.

Tersang menjadi kawasan hutan yang dilindungi di bawah undang-undang. Tidak ada pokok boleh ditebang di kawasan itu tanpa kebenaran Jabatan Perhutanan.

Di kawasan itu sepatutnya tidak ada pokok boleh dibenarkan mati kerana ditebang oleh manusia. Undang-undang menjanjikan hukuman penjara dan denda kepada penebang pokok di kawasan tersebut.

Malangnya, dua bulan lalu kira-kira 20 batang pokok cengal di Hutang Simpan Tersang telah ditebang oleh sekumpulan pembalak haram.

Pokok yang tumbang dibiarkan di dalam hutan begitu sahaja. Menurut para pegawai, pembalak-pembalak haram itu merancang untuk masuk semula ke hutan berkenaan pada musim cuti Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini bagi membawa keluar kayu-kayu cengal tersebut.

Musim cuti perayaan dipilih kerana mereka menjangkakan para pegawai Jabatan Perhutanan akan bercuti panjang pada waktu itu.

Cerita 20 batang pokok cengal yang telah menyembah bumi itu amat mengusik perasaan, namun ia tidak menjadi berita besar walaupun benih-benih cengal di Hutan Simpan Tersang digunakan dalam banyak projek tanaman semula pokok hutan di negara ini.

Rakyat Malaysia lebih gemar mengambil tahu nasib ahli politik seperti Datuk Ahmad Ismail dan Tan Sri Koh Tsu Koon daripada mendengar kisah kematian 20 batang pokok cengal.

Berita nasib pokok cengal itu hanya disiarkan dalam halaman wilayah akhbar nasional. Oleh kerana kisahnya cuma dibaca penduduk di Pahang, Terengganu dan Kelantan, takdir pokok-pokok tersebut mungkin tidak sampai kepada pengetahuan para pemimpin dan pegawai kanan kerajaan di Putrajaya.

Selama berpuluh-puluh tahun pokok-pokok itu menyumbang kepada pengeluaran oksigen yang kita hirup untuk meneruskan kelangsungan hidup. Jasanya banyak, tetapi ia ditaburkan dalam proses yang kita tidak sedari.

Penjenayah yang membunuh pokok yang begitu berjasa kerana memberikan asas terpenting kepada kehidupan manusia tidak kita buru sebagaimana kita menangkap orang yang memberi dan menerima rasuah, atau seperti kita menghukum ahli-ahli politik.

MentalitiKita tidak bersungguh-sungguh memastikan orang yang melakukan jenayah ke atas pokok cengal itu meringkuk di penjara.

Kita tidak ambil peduli sangat sedangkan mentaliti mereka itulah yang memberi kesan kepada alam sekitar, menyebabkan hakisan, kejadian tanah runtuh, pencemaran sungai dan udara serta akhirnya mengakibatkan kemerosotan kualiti hidup kita.

Dari satu segi, cara kita melayan kisah pokok cengal itu menunjukkan kita belum lagi mempunyai sikap yang menjadi sifat sebuah masyarakat maju.

Salah satu ciri penduduk negara maju ialah keprihatinan mereka kepada isu-isu alam sekitar.

Di negara-negara maju, isu alam sekitar merupakan satu faktor dalam politik. Di Amerika Syarikat, misalnya, alam sekitar menjadi bahan debat antara dua bakal Presiden serta menjadi isu yang digunakan untuk menilai pencapaian kepimpinan Presiden.

Pemimpin negara-negara itu sudah lama bercakap mengenai keperluan menukar gaya hidup: kurang memandu kereta, perubahan dalam cara pengeluaran industri, menghentikan penebangan hutan dan kemungkinan rakyat tinggal dalam rumah sempit di kota-kota yang dibina dengan matlamatnya untuk melindungi alam sekitar.

Mereka juga membayangkan bagaimana seluruh dunia perlu berusaha mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar menjelang 2050, satu tindakan yang jika dipaksakan menyebabkan kita perlu bersedia untuk menjadi miskin sedikit kerana akan berlaku kemerosotan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Isu-isu besar itu nampaknya tidak sampai ke Malaysia, atau kalaupun ada disebut ia tidak sehingga menjadi perbincangan di kedai kopi di kalangan rakyat. Hanya sesekali ia dibincangkan di Parlimen.

Kita kekal dengan mentaliti masyarakat negara sedang membangun. Politik kepada kita adalah mengenai perkauman, percaturan kuasa dan pengagihan kekayaan. Dalam politik kita, tiada istilah isu alam sekitar, baik dalam fikiran kaum Melayu, Cina atau India.

Dalam latar inilah 20 batang pokok cengal ditebang oleh pembalak-pembalak haram di Raub dua bulan lepas.

Pohon-pohon itu dikorbankan oleh manusia-manusia tamak yang tahu nilai yang boleh diberi oleh sebatang pokok cengal kepada gaya hidup mereka.

Pemergian ciptaan Allah itu tidak menimbulkan kontroversi dan ia juga tidak ditangisi oleh sesiapa walaupun pohon-pohon itu sebenarnya boleh hidup 1,000 tahun lagi.

 

Dipetik dari Utusan Online: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

KEADILAN SUATU TUNTUTAN..

Oleh : Mohd Hanifi Bin Hj Ahmad Jamaludin

 
Firman Allah S.W.T yang  bermaksud :

Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami Dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat Yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan Yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan 

(al-Hadid:25) 

Keadilan merupakan suatu dasar yang disanjung oleh setiap manusia. Sistem dan dasar sesuatu Negara biasanya akan melahirkan sama ada adil atau zalim. Penentangan ke atas sesuatu institusi sepanjang zaman adalah disebabkan rakyat tidak berpuas hati dengan sistem tersebut kerana pada pandangan mereka ianya zalim dan tidak adil. Pepatah melayu ada mengatakan “ Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah ”.Keadilan pada umumnya tidak mutlak kecuali berdasarkan arahan Allah s.w.t . Hari ini kita begitu  memerlukan keadilan di dalam Negara dan dalam setiap perkara.

Oleh yang demikian, pengislahan hendaklah dilakukan ke atas sistem politik dan pemerintah secara khusus dan seluruh sistem hidup secara umum. Perubahan dan pengislahan ini hendaklah dilakukan atas dasar keadilan mutlak berpandukan wahyu .Allah s.w.t yang menjadikan keadilan sebagai matlamat utama ajaran atau hukum Islam. Sesuatu masyarakat tidak mungkin aman dan sejahtera tanpa keadilan. Bila tidak wujud keadilan di dalam sesebuah Negara, maka lahirlah apa yang dinamakan kezaliman. Kezaliman mempunyai tahap-tahap yang tertentu dari sekecil-kecilnya hinggalah ke sebesar-besarnya.
Kemuncak kezaliman akan berlaku penentangan. Manusia yang beriman akan terus mengadu pada Allah s.w.t apabila mereka tidak mampu menyanggah kezaliman tersebut.

 

Firman Allah s.w.t yang  bermaksud    :
Dan apakah Yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang Yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, Iaitu mereka Yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah Kami dari negeri (Makkah) ini, Yang penduduknya (kaum kafir musyrik) Yang zalim, dan Jadikanlah bagi Kami dari pihakMu seorang pemimpin Yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan Jadikanlah bagi Kami dari pihakMu seorang pemimpin Yang membela Kami (dari ancaman musuh)”.        (An-Nisa’) 
Nabi s.a.w mengingatkan semua manusia agar mengelakkan diri dari melakukan kezaliman kerana doa orang yang di zalimi adalah mustajab. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Takutlah kamu dengan doa orang yang dizalimi kerana tiada di antara doa tersebut dengan Allah s.w.t sebarang halangan (hijab) ”
Apabila kezaliman dilarang, maka keadilan telah diarahkan secara mutlak dalam semua aspek kehidupan.Firman Allah s.w.t bermaksud    : 
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya. 
Di antara keadilan yang dituntut oleh Allah s.w.t :
1) Keadilan dalam kehakiman.    
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

Dan apabila kamu menjalankan hukuman di antara manusia,(Allah s.w.t menyuruh) kamu menghukum dengan adil.Al-Nisa 58   

2) Keadilan dalam memberi penyaksian.    
Firman Allah s.w.t yang  bermaksud :

Bila kamu (memberi kesaksian) hendaklah berkata dengan adil (betul) walaupun ianya mengenai orang yang ada hubungan kerabat dengan kamu.(Al-An’am 152)
3)Keadilan dalam melaksanakan perdamaian di antara dua pihak yang bertelagah.   

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

Dan jika dua pihak dari golongan orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya. Jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain,maka lawan lah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah s.w.t. Sekiranya ia kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah s.w.t) serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara).Sesungguhnya Allah s.w.t. mengasihi orang-orang yang berlaku adil.  (Al-Hujurat 9)

 

4) Keadilan di kalangan anak-anak.   
 Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
Bertakwalah kamu kepada Allah s.w.t dan berlaku adillah kamu di kalangan anak-anak kamu.Riwayat Al-Bukhari
Demikianlah Islam menjadikan keadilan sebagai asas bagi setiap perhubungan. Islam juga melarang dari melakukan diskriminasi dalam melaksanakan keadilan.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

Wahai orang-orang yang beriman ,hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah s.w.t, serta menerangkan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t. mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.( Al-Maidah 8)
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa  menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah s.w.t. sekalipun terhadap diri kamu sendiri. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah s.w.t lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu janganlah kamu menuruti hawa nafsu supaya tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar belitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan. (Al-Nisa 135) 
Demikianlah ayat-ayat yang telah tersebut di atas mewajibkan kita melaksanakan dan menegakkan keadilan dalam semua aspek kehidupan lebih-lebih lagi dalam sistem Negara dan organisasi. Keadilan yang dituntut ialah keadilan yang diarahkan Allah s.w.t dan ianya hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh kerana keadilan inilah Islam berjaya menguasai dunia dan mengajak manusia beriman kepada Allah s.w.t. Keadilan yang pernah dilaksanakan oleh islam menjadikan islam dihormati dan disegani.

Wallahua’lam.