KEADILAN SUATU TUNTUTAN..
Oleh : Mohd Hanifi Bin Hj Ahmad Jamaludin
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami Dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat Yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan Yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan
(al-Hadid:25)
Keadilan merupakan suatu dasar yang disanjung oleh setiap manusia. Sistem dan dasar sesuatu Negara biasanya akan melahirkan sama ada adil atau zalim. Penentangan ke atas sesuatu institusi sepanjang zaman adalah disebabkan rakyat tidak berpuas hati dengan sistem tersebut kerana pada pandangan mereka ianya zalim dan tidak adil. Pepatah melayu ada mengatakan “ Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah ”.Keadilan pada umumnya tidak mutlak kecuali berdasarkan arahan Allah s.w.t . Hari ini kita begitu memerlukan keadilan di dalam Negara dan dalam setiap perkara.
Oleh yang demikian, pengislahan hendaklah dilakukan ke atas sistem politik dan pemerintah secara khusus dan seluruh sistem hidup secara umum. Perubahan dan pengislahan ini hendaklah dilakukan atas dasar keadilan mutlak berpandukan wahyu .Allah s.w.t yang menjadikan keadilan sebagai matlamat utama ajaran atau hukum Islam. Sesuatu masyarakat tidak mungkin aman dan sejahtera tanpa keadilan. Bila tidak wujud keadilan di dalam sesebuah Negara, maka lahirlah apa yang dinamakan kezaliman. Kezaliman mempunyai tahap-tahap yang tertentu dari sekecil-kecilnya hinggalah ke sebesar-besarnya.
Kemuncak kezaliman akan berlaku penentangan. Manusia yang beriman akan terus mengadu pada Allah s.w.t apabila mereka tidak mampu menyanggah kezaliman tersebut.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
Dan apakah Yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang Yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, Iaitu mereka Yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah Kami dari negeri (Makkah) ini, Yang penduduknya (kaum kafir musyrik) Yang zalim, dan Jadikanlah bagi Kami dari pihakMu seorang pemimpin Yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan Jadikanlah bagi Kami dari pihakMu seorang pemimpin Yang membela Kami (dari ancaman musuh)”. (An-Nisa’)
Nabi s.a.w mengingatkan semua manusia agar mengelakkan diri dari melakukan kezaliman kerana doa orang yang di zalimi adalah mustajab. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Takutlah kamu dengan doa orang yang dizalimi kerana tiada di antara doa tersebut dengan Allah s.w.t sebarang halangan (hijab) ”
Apabila kezaliman dilarang, maka keadilan telah diarahkan secara mutlak dalam semua aspek kehidupan.Firman Allah s.w.t bermaksud :
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.
Di antara keadilan yang dituntut oleh Allah s.w.t :
1) Keadilan dalam kehakiman.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
Dan apabila kamu menjalankan hukuman di antara manusia,(Allah s.w.t menyuruh) kamu menghukum dengan adil.Al-Nisa 58
2) Keadilan dalam memberi penyaksian.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
Bila kamu (memberi kesaksian) hendaklah berkata dengan adil (betul) walaupun ianya mengenai orang yang ada hubungan kerabat dengan kamu.(Al-An’am 152)
3)Keadilan dalam melaksanakan perdamaian di antara dua pihak yang bertelagah.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
Dan jika dua pihak dari golongan orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya. Jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain,maka lawan lah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah s.w.t. Sekiranya ia kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah s.w.t) serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara).Sesungguhnya Allah s.w.t. mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Al-Hujurat 9)
4) Keadilan di kalangan anak-anak.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
Bertakwalah kamu kepada Allah s.w.t dan berlaku adillah kamu di kalangan anak-anak kamu.Riwayat Al-Bukhari
Demikianlah Islam menjadikan keadilan sebagai asas bagi setiap perhubungan. Islam juga melarang dari melakukan diskriminasi dalam melaksanakan keadilan.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
Wahai orang-orang yang beriman ,hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah s.w.t, serta menerangkan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t. mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.( Al-Maidah
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah s.w.t. sekalipun terhadap diri kamu sendiri. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah s.w.t lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu janganlah kamu menuruti hawa nafsu supaya tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar belitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan. (Al-Nisa 135)
Demikianlah ayat-ayat yang telah tersebut di atas mewajibkan kita melaksanakan dan menegakkan keadilan dalam semua aspek kehidupan lebih-lebih lagi dalam sistem Negara dan organisasi. Keadilan yang dituntut ialah keadilan yang diarahkan Allah s.w.t dan ianya hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh kerana keadilan inilah Islam berjaya menguasai dunia dan mengajak manusia beriman kepada Allah s.w.t. Keadilan yang pernah dilaksanakan oleh islam menjadikan islam dihormati dan disegani.
Wallahua’lam.